Jumaat, 2 September 2011

Cerpen : JANGAN PERNAH BERUBAH


Royal RMARM di SMS Labuan

OLEH : ROYAL RMARM

Kalau ada alat untuk mengubah waktu ketika ini bertukar kepada saat itu, sudah tentu, setiap kesalahan yang dilakukan hari ini akan berubah dan menjadi sempurna kerana kita mampu untuk mengubahnya di masa lalu. Namun, setiap perubahan itu tidak mungkin akan dapat memenuhi segala kehendak yang kita perlukan kerana setiap apa yang berlaku itu sepastinya ada rahmat-Nya, hanya kita harus bersabar menerima segala-galanya dengan redha.

***********

            Taman itu tidak begitu riuh dengan pengunjung. Angin pada petang itu juga damai dan menyamankan kulit tubuh badan. Kanak-kanak yang berumur lingkungan tiga tahun hingga 12 tahun leka bermain dengan kedua ibu bapa masing-masing. Taman itu sering dikunjungi oleh pengunjung setiap petang dan taman itu akan dipenuhi oleh pengunjung apabila setiap hujung minggu.
            Seorang wanita yang berpakaian biasa berjalan menghampiri taman itu dan dia memandang sekeliling seluruh taman tersebut. Di tangannya terpegang erat sebuah buku coretan dan beg sandang hitam tersandang di sebelah kiri.
            “Apa salahnya bekerja jauh di pendalaman? Berbakti kepada yang memerlukan adalah yang paling mulia di sisi Tuhan.”
            “Tapi Ibu, Mutia tak suka hidup kat kampung. Banyak nyamuk. Lagipun, semua pelajar kat sana diajar macam manapun, takkan boleh pandai punya.”
            “Mutia, mendidik itu adalah tugas mulia. Jika kita ikhlas mengajar, sudah tentu, pelajar di sana akan jadi pandai.”
            “Salam…” Wanita itu tersentak dengan teguran seorang lelaki yang agak berusia. Suara yang berkumandang di cuping telinganya sebentar tadi hilang mendadak. Wanita itu tersenyum dan senyuman itu berbalas. “Melihat anak bermain?” Wanita itu tergelak. Dia melihat lelaki itu sedang memegang sebuah penyapu rumput. Dia dapat menganggak lelaki itu adalah pekerja yang membersihkan taman tersebut.
            “Tidak… Saya belum berkahwin.” Lelaki itu mengangguk. “Saya hanya mencari bahan.” Jelas wanita itu bersahaja menyembunyikan segala-gala gejolak yang bergelora dihatinya.
            “Cik penulis?” Wanita itu mengangguk sahaja. Lelaki itu menoleh ke kiri dan wanita itu menurut pandangan lelaki itu. Dia dapat melihat seorang lelaki sedang duduk bersendiri dan melihat pemandangan taman. “Lelaki itu adalah Zain. Dia mungkin mempunyai bahan untuk Cik.” Wanita itu memandang semula lelaki tersebut. “Dia punya kisah.” Wanita itu hanya tersenyum. “Saya minta diri dulu.” Sekali lagi wanita itu mengangguk dan wanita itu bergerak menghampiri lelaki yang sedang duduk bersendirian tersebut.
            Begitu lama wanita itu memerhatikan apa yang sedang direnung oleh lelaki itu. Wanita itu menarik nafas dalam. “Kalau ada alat untuk mengubah waktu ketika ini bertukar kepada saat itu, sudah tentu, setiap kesalahan yang dilakukan hari ini akan berubah dan menjadi sempurna kerana kita mampu untuk mengubahnya di masa lalu.” Tersentak wanita itu apabila lelaki itu bersuara dan suaranya ada sedikit serak.
            “Maafkan saya kalau saya mengganggu Encik.” Lelaki itu memandang kepadanya dan tersenyum. Lantas wanita itu membalas senyumannya.
            “Tiada apa yang akan mengganggu saya. Duduklah, kalau Cik sudi untuk duduk bersama dengan saya.” Wanita itu pantas duduk. “Saya nampak Cik berbual dengan Mokhtar tadi.”
            “Mokhtar?” Lelaki itu tergelak kecil. “Oh… pekerja tu.” Lelaki itu mengangguk. “Ya.” Jawab wanita itu ringkas.
            “Pasti, dia ada kata dengan Cik, saya punya kisah.” Wanita itu mengangguk mengiyakan. Lelaki itu ketawa perlahan. “Nama saya Zain. Pengunjung yang biasa mengunjungi taman ini memanggil saya dengan Pak Zain.”
            “Ya. Mokhtar juga memberitahu kepada saya nama Encik Zain.”
            “Panggil sahaja saya dengan nama Pak Zain.” Wanita itu mengangguk. Zain memandang wanita itu dan wanita itu mengerti akan pandangan itu lalu tersenyum.
            “Nama saya Mutia.” Zain tersenyum manis.
            “Mutia. Mutiara.” Wanita itu tunduk tersenyum.
            “Ibu saya yang memberi nama itu kepada saya.” Mutia memandang Zain. Zain berubah riak wajah. Wajah itu muram seperti mana dia merenung wajah itu sebentar tadi.
            “Malam itu. Malam itu adalah punca segala-galanya berubah. Kalau tiada malam itu, tidak mungkin ini akan berakhir sebegini.”
            “Apa yang berlaku sebenarnya, Pak Zain?” Zain mengeluh lemah. Mutia menanti jawapan Zain. Dia juga tidak pernah menyangka lelaki itu dengan mudahnya menceritakan kisah hidupnya kepada orang asing sepertinya.

***********

            “Kenapa?” Pertanyaan itu dilafazkan dengan nada suara yang menekan. “Kenapa saya yang harus dipersalahkan dalam hal ini?” Dengusan amarah terhembus kasar.
            “Saya tak pernah menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Saya atau awak, kita berdua harus bertanggungjawab.”
            “Eh… Kau kena dengar apa yang aku cakapkan ni.”
            “Saya takkan dengar apa juga cadangan yang awak nak berikan kepada saya. Saya berhak untuk membuat keputusan. Kalau begitu.” Nafas berombak deras. “Ceraikan saya. Saya sudah tak sanggup nak terus hidup dengan suami seperti awak. Setiap malam, balik dalam keadaan mabuk begini. Saya sudah tak sanggup. Lepaskan saya.”
            “Baik. Itu yang kau nakkan. Bagus.”
            “Mama… Abah…” Mereka serentak memandang ke anjung tangga yang menuju ke tingkat dua rumah.
            “Along… Pergi naik atas.” Anak mereka yang masih berumur tujuh tahun itu berkeras tidak berganjak dan menurut arahan ibunya. “Along… Mama kata, pergi naik atas. Jangan sampai Mama pukul Along.” Anaknya berpaling dan berlari naik semula ke tingkat dua. Dia memandang suaminya dan mengeluh malas. “Ceraikan saya dan tinggalkan saya dengan anak saya. Saya sudah tak sanggup nak hidup dengan suami macam awak. Awak dah berjanji dengan saya sebelum ini. Awak takkan ambil minuman keras lagi. Tapi, tidak. Awak mungkir janji. Tengoklah dengan keadaan awak. Saya dah tak tahan!” Along memandang di sudut tangga di tingkat atas. Dia masih mendengar suara ibu dan bapanya bertekak.
            “Saya buat semua ini disebabkan kamu berdua. Kalau saya tak buat benda ni, syarikat kita akan bankrap. Awak nak tidur di bawah jambatan?” Tengking dengan hamburan kemarahan.
            “Oh… buat semua ini kerana saya dan Along? Minum arak semata-mata kerana kami berdua? Saya tak pernah suruh awak minum minuman keras. Demi syarikat? Kenapa awak terlalu bodoh? Dulu awak tak macam ni… Mana perginya suami yang saya kenal lapan tahun lalu? Mana?” Along yang mendengar tersentak apabila ibunya menjerit dan juga benda pecah. Along dapat mengagak ibunya pasti telah mengangkat pasu bunga di atas meja dan menghempasnya ke atas lantai.
            “Kenapa awak tak nak faham dengan situasi saya? Saya harus layan pelanggan saya. Kalau tidak, saya takkan dapat apa-apa dalam perniagaan…”
            “Ah…” Suara menjerit nyaring. “Ceraikan saya. Lepaskan saya. Saya dah tak tahan!” Along bingkas berdiri dan bersedia untuk berlari masuk ke dalam bilik andai ibunya bergegas naik ke tingkat atas.
            “Saya tahu, kenapa awak nak minta cerai dengan saya? Awak dah ada lelaki lain dan awak juga telah berlaku curang dengan saya.” Along yang tidak mengerti dengan pergaduhan itu berdiam diri namun jantungnya berdegup dengan kencang sekali.
            “Ya. Kenapa? Apa yang awak nak saya buat, ah?! Memang saya dah ada lelaki lain. Macam awak juga. Bukankah awak juga ada perempuan murahan yang selalu melayan awak setiap malam?” Along tersentak sekali lagi. Dia mendengar bunyi berdesup jatuh. Dia yakin, ibunya pasti sedang tercatuk di atas lantai kerana ayahnya menampar ibunya. Sememangnya, itulah yang berlaku setiap kali mereka berdua bergaduh.
            Along pantas berlari masuk ke dalam bilik. Daun pintu bilik yang tidak terkatup rapat itu membolehkan Along melihat susuk tubuh ibunya bergegas naik ke tingkat atas. Ibunya sedang menangis. Along terduduk bersandar di dinding bilik. Along yang cuba memahami situasi itu berdiam diri. Daun pintu biliknya terkuak. Dia melihat ibunya bergegas membuka almari pakaian. Ibunya mengeluarkan ke semua pakaiannya dan menghumbannya ke atas katil. Along membisu dan membatu. Ibunya mengambil bagasi yang tersimpan di atas almari. Segala pakaiannya dimasukkan ke dalam bagasi.
            “Along, mari kita pergi. Kita pergi dari sini.” Ibunya pantas menarik tangannya. Along menurut tingkah tanpa bersuara atau bertindak membantah. Ibunya menarik dan memaksa dirinya pantas menuruni tangga. Ibunya menarik dua bagasi. “Along, cepat.” Dia melihat ayahnya sedang bersahaja tidak bersuara atau menghalang perbuatan ibu. Ibunya menolak dirinya masuk ke dalam kereta. Ibu turut menghumban bagasi ke belakang kereta. Along masih melihat wajah ayahnya yang membisu di sebalik cermin kereta depan. Ibunya menghidupkan enjin kereta dan kereta bergerak laju keluar dari perkarangan rumah dua tingkat itu.

***********

            Zain menarik nafas dalam. Mutia memandang ke depan. “Malam itu adalah malam terakhir, saya melihat dan merenung wajahnya.”
            “Kenapa? Wajah siapa?”
            “Jauh dan kehidupan juga bertukar. Perbezaannya begitu ketara sekali.” Zain menggelengkan kepalanya seolah resah.

***********

            Ibu memberhentikan kereta di hadapan sebuah laman rumah dua tingkat yang lebih besar dari rumah sebelum ini. Along hanya membisu. “Mulai malam ini, rumah ini adalah rumah kita berdua. Along faham apa yang Mama katakan?” Along memandang ibu tanpa sedikit reaksi. “Along… Dengar apa yang Mama katakan ni?” Along mengalihkan pandangan keluar. “Ibu malas untuk bertekak dengan Along.” Ibunya melangkah keluar dan menghampiri pintu rumah yang tersergam indah. Along menjadi pemerhati.
            Seorang lelaki yang memakai pakaian pijama hitam dan ibunya begitu senang sekali memeluk lelaki itu dengan mesra sekali. Along masih juga tidak mengerti. Ibu kembali menghampirinya semula dan menyuruhnya keluar dari kereta. Along tetap menurut. Ibu memperkenalkan lelaki itu dengannya. Lelaki itu tersenyum mesra tidak seperti ayahnya sendiri. Along terasa begitu asing sekali di dalam situasi itu.
            Along diarahkan untuk duduk di dalam sebuah bilik yang dua kali ganda besarnya dari bilik tidurnya sebelum ini. Dia sempat melihat ibunya melangkah masuk bersama dengan lelaki itu ke dalam sebuah bilik. Along masih juga tidak mengerti.

***********

            “Saat itu hanya seketika cuma. Bahagia yang dilepaskan demi mencari bahagia yang lebih dari sebelum ini hanya untuk sekejap sahaja. Cinta yang tidak direstui tidak akan membawa kita ke mana-mana.” Mutia memikirkan setiap kata Zain itu. Dia yang cuba memahami sudut cerita itu bermula dari kisah siapa masih belum menemui jawapannya.
            “Apa yang terjadi selepas itu? Siapa lelaki itu?” Zain mengeluh lemah. Angin petang di taman itu mula bertiup perlahan demi perlahan.

***********

            Along berdiri di muka pintu rumah. Dia tercegat kaku. Dia tidak mampu untuk membantu apabila lelaki itu memukul dan menerajang ibunya tanpa belas kasih. Lelaki itu memandang Along tajam. Dia membuka tali pinggang dan menghampiri Along namun ibu pantas merangkul Along.
            “Tolong! Jangan pukul anak aku, San. Aku rayu dengan kau. Dia tak bersalah!” Ibu menjerit merayu. Wajah ibu habis berlumuran darah.
            “Ah… Kau berdua sama sahaja. Sejak kau berdua masuk ke dalam hidup aku, semuanya habis hancur. Musnah. Apa yang aku usahakan selama ini, berkecai dengan begitu sahaja.” Jerit lelaki itu marah.
            “Maafkan aku. Aku janji, aku tidak akan mengganggu segala urusan kerjamu lagi. Maafkan aku.” Rayu ibu lagi. Along hanya berdiam diri di dalam pelukan ibunya.
            “Aku dah tak sanggup lagi untuk menyimpan kau di sini. Aku bimbang yang pihak polis akan menemui pusat ni.”
            “Tolong… Aku rayu dengan kau. Jangan halau aku dari sini. Aku tak ada sesiapa lagi selain kau. Aku merayu.” Ibu pantas melutut dan menyembah lelaki itu seperti seorang tuhan yang menciptanya. “Aku sembah kau. Jangan halau aku dari sini. Aku akan bantu kau untuk memajukan semula perniagaan kau.” Lelaki itu mendengus kasar dan duduk. Dia membuka sebuah kotak besi berwarna kelabu dan mengeluarkan satu bentuk silinder dan api menyala dari muncung pemetik. Bentuk silinder itu menyala warna kemerah-merahan. Dan seketika berkepul asap keluar ibarat jerebu.
            “Baiklah. Aku beri peluang dengan kau. Aku nak kau cari pelanggan dan kau mesti dapatkan keuntungan sehari sebanyak RM 100 minimum dan RM 500 maksimum. Jika tidak, aku akan pisahkan kau dengan anak kau dari hidup kau. Aku serius mengatakannya.” Lelaki itu bingkas berdiri.
            “Terima kasih.” Ibu pantas memeluk tubuh kecil Along yang tidak mengerti. Ibu mengesat darah yang mengalir di pipinya. Dia bingkas berdiri dan membetulkan dirinya. Dia memandang Along. “Along jangan nakal. Along mesti dengar cakap Ibu. Along tak nak ada Ibu?” Along pantas menggelengkan kepalanya. “Jadi, Along mesti dengar cakap Ibu. Jangan nakal.” Ibu pantas memeluk Along.

***********

            “Adakah lelaki itu seorang pengedar dadah?” Zain membisu dan tidak memberikan sebarang jawapan. “Adakah Ibu menurut arahan lelaki yang bernama San itu? Siapa San?”
            “Dia lelaki berbangsa asing. Dia berada di sini semata-mata untuk perniagaan haramnya. Ibu terjebak dalam kancah tersebut dan tidak mungkin akan berjaya melarikan diri setelah Ibu juga menjadi…” Zain tidak mampu meneruskan katanya.
            “Siapa Ibu dengan Pak Zain?”

***********

            San mengira beberapa keping wang kertas. Dia dua tiga kali memandang Ibu. Ibu tunduk resah. Sesekali Ibu mengesat hidungnya seperti Ibu sedang selesema. Along berdiri di sisi. “Tak cukup. Mana lagi RM 2?” Ibu tunduk mengalah. San berdiri pantas dan memukul Ibu. Ibu berundur dan menolak Along ke belakang.
            “Maafkan aku. Aku berasa haus tadi dan aku membeli minuman. Nanti, aku akan bayar dengan kau… Aku janji…” Suara Ibu dalam serak basah. San sekali lagi memukul kepala Ibu dan Ibu juga tidak mengelak pukulan tersebut seperti rela diperlakukan sedemikian.
            San berkalih semula ke tempat duduknya. San ketawa apabila dia selesai mengira keuntungan yang diperoleh tidak sama dengan penjualan barang tersebut. “Di sini hanya ada RM 498 tetapi barang yang kau bawa keluar tadi adalah sebanyak 50 biji. Kalau kau jual habis 50 biji tu, keuntungannya tidak mungkin hanya mencecah RM 500? Mana lagi dua biji, ah?” San menarik tangan ibu dan menolak ibu ke dinding. San pantas menyepak dan menendang ibu. Along pantas menolak San dan San terundur. Along memeluk ibu. San mula naik radang dan turut memukul Along bersama dengan ibu. Ibu mempertahan Along di dalam pelukannya.
            San berhenti memukul apabila dia sudah terasa penat. Dia meninggalkan ibu bersama dengan Along. Seluruh tubuh Ibu dibasahi dengan darah. Mungkin kulit ibu juga telah habis koyak dengan pukulan tali pinggang San. Along yang juga turut terkena, berdarah di tangan dan kaki. Ibu menangis tertahan-tahan. Dia memeluk Along, kemudian melepaskan Along. Ibu mengeluarkan sebungkus plastik dari kocek pakaiannya. Dia mengeluarkan dua biji bersaiz kecil. Dia berdiri lalu menelan dua biji tersebut. Bagi pengertian Along, itu seperti ubat pil. Ibu meneguk air dan kembali menghampiri Along. Dia memeluk Along. Along hanya menurut.
            Seketika, ibu sudah tidak sedarkan diri. Ibu berada di dunianya sendiri. Ibu mula meracau. Sesekali ibu akan ketawa dan sesekali juga ibu akan menangis. Ibu seperti dirasuk oleh hantu. Along tidak pernah melihat kelakuan ibu seperti itu. Along mula diserang ketakutan apabila San kembali semula. Dia menarik tangan ibu dan tangannya. Mereka berdua dihumban keluar dari rumah. Ibu ketawa dengan apa yang diperlakukan oleh San terhadapnya. Along yang tidak mengerti membantu ibu. San menolak mereka keluar seperti binatang kotor dan jijik.
            Along memimpin tangan ibu. Ibu berjalan dengan terhoyong-hayang. Dia ketawa dan bercakap yang bukan-bukan. Along yang hanya berumur setahun jagung itu tidak mampu untuk memimpin ibu dan akhirnya ibu tumbang di tepi jalan. Ibu tidak sedarkan diri. Along menangis dengan dirinya sendiri dan cuba membangunkan ibu.
            Orang ramai yang lalu-lalang riuh dan berbisik sesama sendiri melihat keadaan itu. Seorang lelaki menarik tangan Along pergi dari situ. Along meronta tidak mahu. Seorang lelaki lain pula cuba membantu ibu. Dan jelas di mata Along di dalam pelukan lelaki yang membawanya pergi dari situ, lelaki itu menggelengkan kepalanya. Menitis airmata Along menyaksikan keadaan itu. Along masih tidak mampu untuk berbuat apa lagi.

***********

            “Adakah Ibu meninggal dunia?” Zain kaku dalam diamnya. “Ke mana Along di bawa pergi? Siapa lelaki yang membawanya pergi itu? Adakah Ayah?” Begitu banyak sekali pertanyaan Mutia itu namun Zain tetap tidak menjawabnya.
            “Perlukah saya katakan, bahawa dunia ini terlalu kejam? Atau manusia itu sendiri sebenarnya yang kejam?” Mutia berfikir jauh dengan pertanyaan Zain itu. Pertanyaan itu membuatkan dia tertanya-tanya dengan dirinya. Adakah dia juga baik dan tidak kejam?

***********

            “Bos…” Along diletakkan di atas kotak. Seorang lelaki yang mempunyai wajah bengis memandangnya. Bentuk silinder yang sering dilihatnya berada di dalam mulut San berada di dalam tangan lelaki itu dan lantas itu bentuk itu dilepaskan ke tanah. Kaki kirinya memijak memadam asap bagai jerebu itu. “Aku dapat seorang mangsa lagi untuk dijual…” Lelaki itu ketawa.
            “Kenapa seluruh badannya luka-luka?”
            “Entah. Emak dia pengsan di tepi jalan. Dalam riuh rendah, aku ambil budak ni. Mungkin, emaknya dah mati kot…” Lelaki yang mengambil Along ketawa.
            “Kau pergi bersihkan seluruh badannya dan aku akan hubungi Orang Kaya Baru tu.” Lelaki itu mengangguk dan mengangkat Along semula. Along hanya menurut sahaja.
            Along yang telah dibersihkan seluruh badannya dan dipakaikan dengan pakaian bersih itu tetap membisu. Sebuah kereta mewah seperti kereta ayahnya dulu semakin menghampiri. Along benar-benar berharap, orang yang berada di dalam kereta itu adalah ayahnya. Namun semua itu menjadi mimpi ngeri kerana lelaki itu bukanlah ayahnya tetapi seorang lelaki dan seorang perempuan yang langsung dia tidak kenali.
            “Mana budak tu?” Seorang lelaki yang berpakaian kemas pantas bertanya.
            “Sabarlah Dato. Budak tu ada dengan kawan saya.” Mereka berdua melangkah masuk ke dalam rumah kosong papan itu. Seorang wanita mengekori mereka dari belakang. Along begitu jelas dengan keadaan situasi itu. “Inilah budak itu, Dato.” Wanita yang bersama dengan mereka pantas menerpa ke arah Along dan memeluknya. Along berdiam tingkah. Entah apa yang harus dilakukannya. Dia memerhatikan sahaja urusan antara dua orang lelaki itu sehinggalah dia berada di dalam kereta mewah tersebut. Along memandang dua orang lelaki yang sedang galak tersenyum gembira kerana mendapat habuan yang setimpal dengan kerja mereka. Along kini dalam sekelip mata telah berada di dalam tangan orang yang tidak dikenali. Hanya dalam masa satu hari sahaja.

***********

            “Adakah Along bahagia bersama dengan mereka?” Zain hanya tersenyum kecil. Mutia tidak mengerti dengan tindak tanduk Zain yang bersahaja menceritakan segala-galanya. Mutia merasakan Zain seperti pernah melihat sebuah drama di kaca televisyen dan dengan mudah menceritakannya semula.
            “Tiada mimpi indah yang hadir di dalam setiap tidur. Malah, mata ini sukar untuk melelapkan bagi memujuk untuk tidur.” Mutia menarik nafas dalam. Dan masih juga cuba untuk mengerti.

***********

            “Mulai hari ni, ni adalah rumah…” Wanita itu tunduk memandang Along. “Emm… apa kata kalau kita panggil nama dia sebagai Danial.”
            “Terpulang pada Mama…” Along mengalihkan pandangannya kepada lelaki yang sedang berdiri di belakang wanita itu sambil tersenyum.
            “Danial. Panggil saya Mama dan ni Papa…” Along tetap membisu. Lelaki dan wanita itu tidak mengerti. “Danial, jangan bimbang. Mama dan Papa takkan mengabaikan Danial. Emm… mari… Mama kenalkan Danial dengan abang, kakak dan mungkin juga adik Danial yang baharu.” Lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Papa itu berjalan dan menghilang di sebalik lorong rumah banglo itu.
            Kedengaran suara Papa mengarahkan sesuatu di belakang. Dan seketika, beberapa orang budak sedang berbaris menuju ke ruang tamu. Along sedikit tersentak melihat hampir 10 orang budak, lelaki dan perempuan menghampiri. “Mereka adalah adik-beradik Danial.” Along memandang Papa dan kemudian Mama. Timbul keraguan di hati Danial. Dan jantungnya juga terasa ingin meletup namun dia tetap juga tidak mengerti dengan semua ini.
            “Danial. Di dalam rumah ni, kita semua mesti bekerja. Kita tak boleh tak bekerja. Oleh itu, mulai esok, Danial akan bekerja bersama dengan…” Mama bergerak dan menarik tangan seorang budak perempuan yang mungkin berusia 12 tahun. “Dengan Kak Ati…” Danial tunduk. “Ati, Mama arahkan Ati untuk mengajar Danial.”
            “Baik, Mama…” Ati tersenyum kecil.
            “Okey, bawa Danial masuk ke dalam bilik kamu semua, Ati. Dan yang lain berkumpul di dalam ruang makan. Tiada sesiapa yang dibenarkan menyimpan walau satu sen pun. Cepat!” Tengking Papa memberi arahan. Along memandang ke belakang dan Ati menolaknya cepat.
            “Kenapa, kau boleh berada di sini?” Along membisu sahaja apabila Ati mengajukan pertanyaan. “Kau akan jadi pencuri di sini dan penyeluk saku.” Terkejut Along mendengar jawapan orang yang belum dikenalinya itu.
            “Ati!” Suara Papa menjerit nyaring. Ati bergegas keluar tanpa memberi sebarang pesanan kepadanya. Along tercatuk kebingungan. Dia tidak dapat memikirkan apa yang patut dilakukannya.
            Semalaman Along tidak mampu memejamkan matanya. Semua ini terlalu asing buat dirinya. Dia juga tidak mengerti dengan segala perubahan hidupnya. Ingin dirinya mencari ayahnya semula dan menemui ibunya. Dia juga tidak tahu apa yang bakal berlaku ke atas dirinya selepas ini.
            “Bangun! Bangun! Bangun!” Jerit Papa membuatkan Along bingkas bangun. “Bagus Danial!” Yang lain juga pantas jaga dari tidurnya. “Semua cepat bangun. Kerja! Hari ini mesti dapatkan keuntungan lebih dari semalam.” Papa mengarahkan mereka bergerak pantas. Along menurut tingkah walaupun dia tidak mengerti.
            “Hari ini, setiap seorang hanya dapat sekeping roti. Kalau nak makan malam yang lazat dan sedap, mesti dapatkan lebih dari RM 50 seorang.” Along terimbas kembali akan kata yang menganggap dirinya sebagai Mama itu dengan keadaan yang berlaku ke atas dirinya dan ibunya dahulu. Adakah dia harus menjual benda yang sama pernah dijual dan digunakan oleh ibunya sebelum ini? “Danial, akan bersama dengan Kak Ati. Ati, ajar Danial dengan betul.” Ati mengangguk bersahaja. Mereka diberi sekeping roti dan Along juga turut diberi sekeping roti.
            Mereka diarahkan masuk ke dalam sebuah van. Along terperosok di dalam van. Fikirannya berkecamuk. Dia tidak mampu untuk memberikan apa-apa jawapan atau sebarang keputusan. Van yang dipandu oleh Papa bergerak seawal pagi. Dan mereka diturunkan di sebuah pasar yang dipenuhi dengan suara-suara nyaring memanggil pelanggan untuk membeli jualan mereka. Along tergamam melihat keadaan itu. Papa mengarahkan mereka ke tempat masing-masing dan Along menurut sahaja pegangan tangan Ati.
            Along melihat sahaja tingkah Ati yang menyusur setiap jalan. Dia berhimpit-himpit dengan orang ramai. Ati berhenti di belakang seorang wanita yang berusia. Along berdiam tingkah. Along dapat melihat tangan Ati merayap masuk ke dalam beg sandang yang disandang di pergelangan tangan. Wanita itu sibuk memilih sayur dan terdapat dua tiga orang lagi berkerumun di sisi wanita itu. Ati cepat mengeluarkan beg dompet wanita itu dan begitu pantas juga tangan Along ditarik. Along menurut sahaja tingkah Ati berlari sehingga di lorong belakang. Ati tercungap-cungap melarikan diri. Kemudian dia merenung Along.
            “Inilah kerja yang harus kita lakukan. Kalau kita nak melarikan diri, nyawa kita pasti akan melayang. Dan kita akan berada di sini, sampai kita mati. Hutang kita takkan dapat kita bayar dengan mereka.” Along tetap membisu. Ati membuka beg dompet dan mengeluarkan beberapa keping wang kertas. “Nampaknya, malam ni, kita berdua boleh dapat makan enak dan lazat. Kau memang bawa tuah dengan aku.” Ati ketawa dan memasukkan wang kertas itu ke dalam poket seluarnya. Kemudian dia meletakkan tangannya di bahu Along. “Kita cari lagi mangsa yang lain.” Along tetap menurut.

***********

            “Along berjaya melepaskan diri dari dunia itu?” Zain menarik nafas dalam. Mutia menanti jawapan Zain. Permasalahan yang berlaku kepada dirinya segera menghilang apabila mendengar kisah yang dibicarakan oleh Zain kepadanya. Mutia menarik nafas dalam seperti Zain tadi.
            “Pengalaman hidup mengajar segala-galanya. Dari kita bodoh akan benda itu, kita menjadi arif mengenainya apabila telah sebati di dalam hidup kita. Di sanalah rumah untuk berteduh. Di sana jugalah, pengalaman hidup diteruskan.” Zain menggelengkan kepalanya.
            “Along tidak mampu keluar dari semua itu? Bagaimana dengan Ati? Mama dan Papa yang menjadi dalangnya?” Terlalu banyak pertanyaan Mutia kepada Zain ketika itu. Dia ingin mengetahui apakah kesudahannya? Dan dia juga mahu tahu, siapakah Along yang menjadi peneraju utama di dalam cerita yang disampaikan oleh Zain kepadanya.

***********

            “Eh… kenapa sedikit saja ni?” Ati menjerit marah. Lalu menampar seorang budak lelaki yang hanya menyerahkan wang curian yang kurang dari sasaran arahannya. Budak lelaki itu menangis.
            Sepuntung berbentuk silinder ditekan-tekan di atas meja. Meja itu telah banyak kesan bulat-bulat terbakar. Isyarat tangan menghentikan amukan Ati. Ati berundur dan berdiri di belakang. Sekali lagi isyarat tangan dan kali ini budak lelaki itu bergegas lari masuk ke dalam bilik yang menempatkannya.
            “Kita tak boleh manjakan mereka sangat.” Ati duduk berdepan. “Danial… Maaf… Bos. Kalau kita manjakan mereka, mereka akan mudah naik ke kepala. Dalam beberapa hari ini, kita langsung tak untung.” Sebuah kotak berwarna merah dan terdapat sebuah gambar yang mengerikan diangkat. Dia membuka penutup lembut itu dan mengeluarkan sebatang. Rokok. Itulah yang menjadi temannya sejak dia mula belajar merasainya. Segala kenangannya sejak dari dulu akan terimbas kembali apabila dia meletakkannya dibibirnya yang biru keunguan itu. Namun itulah yang akan menggembirakan hatinya. “Bos… Dengar tak apa yang aku sedang cakapkan ni?” Api menyala di hujung batang silinder itu. Kemudian, berjela-jela asap mengepung di udara. Ati mengeluh berat. Begitulah sejak dia mengenali lelaki yang kini menjadi ketua dalam kumpulan penyeluk saku itu setelah Mama dan Papa ditangkap oleh polis di dalam sebuah serbuan di pasar. Lelaki itu tidak pernah bersuara sejak pertama kali dia bertemunya.
            “Malaslah aku… Aku malas untuk melayan karenah ni semua. Lebih baik aku pergi tidur…” Ati bergerak pantas dan berlari naik ke tingkat atas. Sekali lagi puntung rokok ditekan-tekan di atas meja setelah rokok itu habis dihisap ampasnya. Kotak rokok itu diambil dan direnyuk keras. Dia berdiri dan menuju ke bilik yang menempatkan budak-budak jalanan yang dipaksa bekerja menjadi seorang penyeluk saku dan pencuri.
            Daun pintu dibuka. Isyarat mata yang diberikan membuatkan budak-budak di dalam bilik itu mengerti akan tindakannya. Budak-budak itu bergegas keluar dan berbaris sebelum dia sempat mengarahkannya. Wajah ketua mereka itu sudah cukup menggerunkan untuk direnung walaupun mereka tidak pernah mendengar suaranya.
            Mereka membaca pergerakkan tangan dan mereka bergegas keluar dari rumah dan masuk ke dalam van yang semakin usang. Ati turun semula dan terkejut melihat keadaan itu. “Kau nak bawa mereka ke mana, Danial?” Ati panik dan cemas. “Danial…” Ati menarik tangan dan pantas dia memegang bahu Ati. Ati terdiam tingkah. Pandangan itu membuatkan Ati serba salah. “Kau dah gila? Kalau pihak polis siasat perkara ni, habis kita berdua tahu tak. Aku tak nak.” Dia melepaskan pegangannya dan bergegas keluar. Dia lantas masuk ke dalam van. Ati menurut pantas. Van bergerak keluar dari perkarangan laman rumah banglo yang juga turut dimamah usia. Rumput lalang juga telah tinggi menjulang.

***********

            “Along menjadi ketua? Dan ke mana dia membawa kanak-kanak tu?” Mutia menarik nafas apabila melihat wajah Zain berubah riak. Wajah itu seolah pucat. Taman itu semakin dikerumuni oleh pengunjung. Ada yang sedang berjoging dan bersenam. Dan ada juga yang sedang duduk sambil membaca buku serta berbual dengan teman.
            “Dia tidak mahu, kanak-kanak itu akan menjadi sepertinya. Hidup dalam dunia yang gelap dan tidak menerima sebarang cahaya kehidupan.” Zain menarik nafas dalam. Mutia yang masih cuba mengerti kini mula memahami sedikit demi sedikit.

***********

            “Balai Polis? Kau dah gila ke Danial?” Dia memandang Ati. Pandangan mata itu membuatkan Ati menyakini tindakannya itu. Sebuah tindakan yang akan mengubah seluruh kehidupannya. Jauh di sudut hatinya, sememangnya, dia ingin keluar dari rumah banglo itu setelah sekian lama hidup di sana. “Aku ikut kata kau…” Ati berpaling ke belakang. Dia melihat budak-budak itu sedang menahan rasa cemas dan takut. “Mulai hari ni, kamu semua akan bebas dan Kak Ati akan tolong kamu semua tapi kamu juga mesti tolong Kak Ati. Kamu mesti selamatkan kami berdua juga.” Mereka pantas mengangguk.
            Ati melangkah keluar dan membuka pintu van. Budak-budak itu melangkah keluar. Ati melihat Danial yang masih berada di dalam van dan seketika kemudian, dia melangkah keluar. Dia menurut langkah Ati. Ati terasa ingin lari apabila dia merasakan kecut perut melihat anggota polis sedang memerhatikannya.
            “Boleh saya bantu Puan?” Ati terkedu kata. Dia melihat Danial sudah duduk di hadapan kaunter pertanyaan.
            “Ah… begini…” Ati bergegas duduk di sebelah Danial. “Kami sebenarnya berjaya membawa budak-budak yang dipaksa menjadi penyeluk saku dan pencuri. Sebenarnya, kami berdua dah lama menyiasat perkara ni dan kami berjaya membawa sebahagiannya. Dan ada lagi di tempat-tempat lain. Kami akan beritahu…” Pantas Ati menjelaskannya dengan perasaan cemas dan panik.
            “Boleh, kami minta kad pengenalan?” Terkejut Ati mendengar pertanyaan itu. Dia pantas memandang Danial dan Danial mengedipkan matanya lalu melirik ke arah budak-budak yang sedang berdiri di belakang mereka.
            “Sebenarnya Tuan. Dompet kami hilang sebab dicuri. Ah… kami tahu yang kami ni dah melakukan kesalahan. Sepatutnya, kami membuat laporan kerana kehilangan kad pengenalan terlebih dahulu tetapi sebaliknya. Kami sendiri pandai-pandai menyiasat perkara ni. Maafkan kami.” Anggota polis itu mengangguk.
            Ati menarik nafas lega setelah memeluk seorang demi seorang budak-budak tersebut. Ingin rasanya dia menangis ketika itu namun ditahannya. Dia berdoa agar budak-budak itu akan terbela nasibnya selepas ini. Dia melihat Danial bergerak keluar dan dia mengejarnya. Van yang mereka parkir jauh dari kawasan Balai Polis itu ditinggalkan oleh Danial. Ati tetap menurut.
            “Danial… Kau nak ke mana?” Dia berpaling dan memandang Ati. “Aku tahu dengan maksud kau yang sebenarnya. Tapi, aku tak tahu nak buat apa lepas ni. Aku tak ada keluarga. Aku hidup sebatang kara sejak dulu lagi. Mama dan Papa ambil aku masa tu, aku ditinggalkan oleh seorang perempuan yang aku dah tak ingat bagaimana wajahnya. Kau nak ke mana?” Dia melihat Danial menarik nafas dalam.
            “Aku punya kehidupan aku sendiri. Aku harus mencarinya.” Terkejut Ati mendengar suara Danial buat kali pertama sepanjang dia mengenali lelaki itu.
            “Aku fikir kau bisu…” Ati tersenyum. “Kau nak cari kehidupan? Aku tak faham.”
            “Jumpa lagi.” Ati tidak dapat menghalang. Dia terus sahaja berpaling dan hilang dari seberang jalan. Ati mengeluh lemah. Dia buntu untuk memikirkan mana satu jalan yang harus dia tuju selepas ini. Dia tidak boleh kembali semula ke rumah banglo tersebut. Ati menoleh semula ke depan. Mungkin dia masih boleh melihat Danial semula.

***********

            “Kehidupan yang harus dia cari? Danial, Along. Siapa Along sebenarnya?” Zain masih juga tidak menjawab pertanyaan itu. Kadangkala membuatkan Mutia terasa ingin menjerit dan menengking lelaki itu agar lelaki itu menjawab setiap pertanyaannya.
            “Itulah kali terakhir dia melihat wajah Ati. Dia tidak pernah lagi melihat Ati walau di manapun. Dia juga tidak mahu kembali ke dunia itu.” Zain mengeluh lemah.
            “Apa yang dilakukan oleh Along selepas itu?”

***********

            Along memandang jauh ke sebuah bangunan. Dia teragak-agak untuk melangkah masuk ke dalam bangunan tersebut. Papan tanda yang besar begitu jelas di matanya. Namun, merangkak-rangkak untuk dia membacanya apabila dia tiba di sana. Bangunan itulah yang sering dia lihat sejak dia kecil, sejak dia bekerja sebagai penyeluk saku. Dia nekad. Itulah keputusan yang harus dia cari.
            Rumah Kenangan. Dia menarik nafas dan melangkah masuk. Di dalam pegangan tangannya tersemat sebuah sampul surat kuning. Isinya itu tidak pernah diberitahunya walaupun dengan Ati sendiri. Dia cuba mengukir senyuman. Sebuah senyuman yang telah sekian lama tidak diukirnya. Begitu keras sekali bibirnya.
            “Ya, Encik. Boleh saya bantu?” Seorang wanita yang mungkin sebaya dengannya mengukir senyuman kepadanya. Dia menarik nafas sekali lagi. Dia menyerahkan sampul surat itu. Wanita itu tidak mengerti.
            “Saya datang untuk meminta kerja.” Perlahan sekali suaranya memberitahu kepada wanita itu. Wanita itu mengangguk. Dia mengambil sebuah borang dan menyerahkannya kepadanya. Dia terkial-kial melihat borang tersebut. “Maafkan saya. Saya terlupa nak bawa cermin mata. Boleh tolong isikan?” Wanita itu menelan senyumnya. Namun pantas kepalanya mengangguk. “Segala maklumat ada di dalam sampul surat tersebut.”
            Wanita itu mengeluarkan isi sampul surat dan membeleknya. Dia melihat Along semula. Dia seakan tidak percaya. Lelaki yang berdiri di hadapannya itu adalah seorang yang berpelajaran. Along hanya tersenyum kecil dengan begitu payah sekali. Wanita itu mengisi borang tersebut mengikut perkara yang disediakan. Along hanya membisu tingkah.
            “Saya dah siap isi borang Encik. Sila tandatangan di sini.” Along menurut sahaja kemahuan wanita itu. Dia menurunkan tandatangannya. Dia hanya menulis namanya. Terasa kekok tangannya memegang pen tersebut. Wanita itu hanya tersenyum. “Pihak kami akan menghubungi Encik selepas ni.”
            “Terima kasih.” Along berpaling dan melangkah keluar. Dia menoleh semula bangunan tersebut. Dia berasa lega dan disamping itu dia merasa gusar juga.

***********

            “Jadi Along bekerja di sana?” Barulah kali ini Zain mengangguk pertanyaannya. “Tapi, Along kan tak bersekolah, bagaimana mungkin…” Mutia mengingati kata Zain. “Dalam sampul surat tu, semuanya palsu?” Sekali lagi Zain mengangguk. Mutia tergelak kecil. “Jadi, hidup Along berubah?” Zain tunduk.

***********

            Along mendapat pekerjaan di Rumah Kenangan itu telah memberikan sinar harapan yang tinggi kepada Along. Dia melihat warga emas itu membuatkan dia berfikir panjang. Jika, dia masih bersama dengan kedua orang tuanya, mesti umur mereka juga sebaya dengan warga emas yang tinggal di sini. Along menjadi pekerja atendan yang mana menghantar makanan kepada warga emas yang tidak berupaya untuk ke dewan makan dan menyelia mereka setiap waktu. Along gembira dengan keputusannya itu.
            “Bagaimana dengan kerja di sini? Memang susah tapi bila dah biasa, mesti rasa seronok.” Along hanya tersenyum. “Nama saya Aisyah.” Along mengangguk. “Awak kurang bercakap. Berbual. Awak lebih suka menyendiri.”
            Along berdehem kasar. “Itu memang sikap saya sejak dari dulu lagi. Maafkan saya. Saya kena bersihkan Bilik 11. Ada penghuni yang harus saya bersihkan.” Along melangkah pantas. Aisyah hanya tersenyum. Dia begitu tertarik dengan perwatakan Along yang bersahaja itu.
            Seluruh hidup Along telah bersemadi di Rumah Kenangan itu. Sudah tiga tahun dia berada di sini. Dia cukup gembira bersama dengan warga emas di sini. Walaupun, ada sesetengahnya cerewet namun, dia menangani dengan sabar. Aisyah. Seorang doktor yang menjadi perawat di Rumah Kenangan ini juga selalu membantunya. Dan dia dapat merasakan Aisyah mula menyimpan perasaan kepadanya namun dia tidak mampu untuk meneka kerana dia sedar akan dirinya siapa yang sebenarnya.
            “Dah lama juga Danial bekerja di sini dan Aisyah dapat lihat Danial dah semakin cekap dengan tugas Danial. Emm… tiga tahun dan Danial dah dinaikkan pangkat. Dah jadi penyelia. Aisyah bangga dengan Danial.” Along hanya tersenyum dan terus sahaja melipat tuala putih dan menyusunnya di dalam bakul. Itulah rutinnya sejak tiga tahun lalu dan rutin itu tidak mampu ditinggalkannya walaupun dia telah dinaikkan pangkat menjadi penyelia enam bulan lalu.
            “Saya suka dengan kerja ni.” Aisyah tergelak kecil.
            “Emm… maaf, kalau saya bertanya.” Along memandang Aisyah. “Sejak tiga tahun, Danial bekerja di sini, saya tak pernah melihat Danial balik kampung atau ke rumah Danial. Danial tetap berada di kaurters walaupun hari raya.”
            “Saya tak punya keluarga. Saya sebatang kara. Tapi, sekarang ni, nilah rumah saya. Mereka semua adalah ibu dan bapa saya.” Jawab Along bersahaja dan mengangkat bakul yang telah dipenuhkan dengan tuala putih.
            “Danial tidak mahu memiliki keluarga Danial sendiri?” Along memandang Aisyah. Aisyah tersenyum dan melangkah pergi. Along menarik nafas. Dia mengerti apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Aisyah itu kepadanya.

***********

            “Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mengahwini Aisyah.” Mutia tersentak dengan kata Zain itu. Namun bibirnya terukir senyuman.
            “Dia bahagia bersama dengan Aisyah?” Zain mengeluh lemah dan menggelengkan kepalanya. “Kenapa? Aisyah dapat tahu siapa sebenarnya Along?”

***********

            “Maafkan saya Encik. Saya dah tak boleh nak buat apa lagi.” Along berdiri resah. Dia sudah tidak sanggup lagi mendengar kata penjelasan doktor itu. Dia melangkah dengan begitu lemah sekali menuju ke wad Aisyah.
            Dia melihat Aisyah sedang berbaring. Aisyah menoleh memandangnya dan tersenyum kepadanya. Along menghampiri Aisyah dan duduk di sisinya. “Apa kata doktor?” Along hanya memandang Aisyah. Timbul seribu kekesalan dalam hidupnya kerana menipu Aisyah selama ini. “Kenapa?”
            “Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa yang berlaku.” Along berdiri dan melepaskan pegangan Aisyah. Aisyah hanya membisu. Along melangkah keluar dari hospital itu. Dia duduk di perhentian bas dan berfikir panjang. Namun dia tidak betah untuk lama duduk di situ. Dia melangkah dan membawa dirinya. Walaupun dia berfikir panjang namun dia langsung tidak tahu apa yang sedang difikirkannya. Kosong dan gelap. Itulah dirasakannya.
            “Isteri Encik menghidap kanser paru-paru. Dan, ia sudah berada di tahap yang kritikal.” Suara doktor terngiang-ngiang di telinganya ketika ini.
            “Bagaimana dengan anak di dalam kandungan isteri saya?” Doktor itu tidak mampu untuk menjawab.
            “Saya akan membawa perkara ini kepada Doktor Pakar Sakit Puan. Saya tidak arif mengenai perkara itu. Maafkan saya Encik. Saya dah tak boleh nak buat apa lagi.” Along terasa ingin membunuh diri. Dia benar-benar rasa bersalah namun apa yang harus dia lakukan untuk menangani rasa bersalah itu.
            Along mengurungkan dirinya di rumah. Along memeluk lututnya sendiri. Berpuluh puntung rokok bertaburan di lantai. Rumah itu juga penuh dengan kabus asap rokoknya. Dia yang tidak mampu untuk berhenti merokok walaupun telah berkali-kali diminta oleh Aisyah itu tetap juga tidak mampu untuk berubah.
            Along mengambil lagi kotak rokok. Kotak rokok itu adalah kotak yang keempat. Setiap sebatang rokok selesai, masalah itu akan datang semula. Dia ingin melepaskan semua masalah itu namun masalah itu tetap tidak mahu melepaskannya. Sebatang rokok kini berada di dalam bibirnya. Asap berkepul keluar dari mulut setelah dihembusnya. Begitulah berkali-kali sehingga habis. Dan apabila sudah habis, dia akan mengambilnya lagi lalu membakar dan lalu menghisapnya semula. Begitulah berkali-kali. Berkali-kali.
            Malam itu masih menghantui dirinya. Malam itu yang telah menghumbannya jauh ke dunia yang sempurna sebagai seorang manusia. Terlalu banyak liku-liku kehidupan yang mengajarnya. Dan begitu juga banyak situasi yang mengubah setiap langkah kakinya. Dan semuanya hanya kerana malam itu. Jawapan yang diminta dari setiap persoalan adalah jawapan, malam itu. Kerana malam itu. Kata-kata ibunya masih lagi segar di kotak fikirannya. Sikap ayahnya yang sering mabuk itu juga masih jelas di matanya. Dia tidak mungkin akan melupakannya.

***********

            “Bagaimana dengan Aisyah selepas dia menghidap kanser paru-paru? Bagaimana dengan anak Along dan Aisyah?” Zain menarik nafas dalam.

***********

            Along memegang sebuah tubuh yang begitu hangat sekali. Matanya terpejam erat. Along tidak tahu, apa yang harus dia lakukan selepas ini. Mampukah, dia berdepan dengan semua masalah selepas ini. Adakah dia akan mampu memberi sesuap nasi ke dalam mulut yang belum mengenal erti dunia yang telah dia kenali ini. Semua persoalan itu membuatkan dia terasa pitam dan mungkin juga boleh membuatkan dia berfikir untuk naik ke atas bangunan yang tinggi lalu terjun. Biar, kepalanya berkecai di atas jalan supaya masalah itu tidak lagi menimbun di kotak otaknya.
            Along meletakkan tubuh itu di atas katil. Dia menyandar di sisi katil. Kotak rokok dicapainya yang terampai di atas meja. Wajah Aisyah pertama kali ditemui dan terakhir kali disaksikannya bermain-main di matanya. Rokok kini telah menyala apinya. Mulutnya pantas menghisap dan masalah itu seolah terbang dan menghilang. Setelah rokok itu menjadi puntung berdebu, dia mengambil lagi sebatang dan mengulanginya sehinggalah dia sendiri terlena bersama dengan puntung rokok yang bertimbun.
            Along melihat tubuh yang dahulu kecil kini telah separas lututnya. Wajahnya yang cengkung itu direnung oleh sepasang mata yang kecil.  Anak itu seperti wajahnya dahulu. Anaknya itu seperti meminta simpati dengannya seperti dirinya dahulu meminta simpati namun ibu dan ayahnya tidak pernah mengerti maksudnya itu. Along menyuruhnya duduk dan anak kecil itu menurut. Along mengangkat sebuah botol berwarna hijau. Dia menuang isinya di dalam cawan. Bawa masam itu menusuk ke hidung. Dari seorang penghisap tegar, kini menjadi peminum yang setia. Along meneguk minuman keras itu seperti minum air kosong. Anak kecil itu memandangnya.
            Along mengambil kotak rokok dan menyalakannya. Seketika asap berkepul. Sikapnya itu direnung oleh anak kecilnya itu. Along sebenarnya, sudah tidak mampu untuk berfikir apa lagi. Apabila, tiba waktu anak kecil itu untuk makan, dia akan memberi apa sahaja anak kecil itu untuk makan. Dan anak kecil itu juga tidak merungut sepertinya yang tidak pernah merungut walaupun diperlakukan dengan kejam. Along tunduk dan memejamkan matanya. Kadangkala, dia begitu kasihan dengan anak kecil itu namun dia tidak mampu untuk melawan keinginannya itu.
            Anak kecil itu berdiri dan menghampirinya lalu memeluknya. Along membalas pelukannya itu. Dia yang sudah tidak mampu untuk menangis itu membisu sahaja. Dia dapat merasakan kehangatan pelukan anak kecil itu sama seperti dia merasakan pelukan ibunya dahulu.

***********

            “Apa yang terjadi selepas itu?” Zain memejamkan matanya. “Semua ini berlaku kerana malam itu. Tapi, takkan Along tidak berusaha untuk mengubahnya. Jangan biarkan malam itu akan berlaku sekali lagi kepada anaknya.” Mutia seolah hilang sabar. Sekiranya dia bertemu dengan Along itu, mahu sahaja dia memberikan sepatah dua kata menyedarkan lelaki itu.

***********

            Along berteleku dengan dirinya sendiri. Dia memandang jauh ke langit malam. Malam itu, langit tidak berbintang. Dia mengosongkan fikirannya. Anak kecil itu yang kini sudah separas pinggangnya sedang terlena. Along menarik nafas panjang. Matanya kabur. Matanya seperti sudah tidak mampu melihat dengan jelas. Dia yang masih dengan sikap dan perangainya, penghisap, peminum dan kini telah naik sepangkat lagi sebagai penagih itu membuatkan dia terasa lemah. Jika dahulu, dia hidup dalam gelandangan dan menjadi penyeluk saku serta pencuri, dia tidak pernah menyentuh dua benda itu selain daripada rokok. Namun sejak kematian Aisyah lapan tahun lalu, membuatkan hidupnya lebih teruk dari seorang gelandangan.
            Along menyandarkan kepalanya di tepi jendela. Matanya kejap-kejap terang dan kejap-kejap kabur. Mungkin kerana dia sudah khayal dengan dirinya. Tiba-tiba bahunya disentuh. Along tersentak dan melihat ke sisinya. Matanya yang kurang jelas itu cuba mengamatinya. Sesusuk tubuh kerdil sedang memandangnya. Wajah itu seakan pernah disaksikannya. Tubuh kecil itu berdiri dan duduk di sisi pintu dan memeluk tubuh. Along berdiri dan menurut.
            Dia tertawa kecil. “Eh… kau buat apa kat sini?” Along memandang wajah budak lelaki itu yang seperti dirinya. Along duduk dan memegang tangan budak itu.
            “Kenapa?” Pertanyaan budak lelaki itu membuatkan Along tertawa. “Kenapa harus memilih jalan ini? Jangan jadikan ia seperti malam itu.” Suara budak lelaki itu seperti bisikan hatinya 37 tahun yang lalu. “Pulanglah. Jangan biarkan ia terus berlaku semula. Jangan kisah ini dirasai olehnya.”
            “Tapi, apa yang harus aku lakukan? Aku tak punya apa-apa untuk berubah. Aku tak mampu dan aku tak kuat. Ini adalah kehidupan yang diberikan kepada aku!” Kata Along membantah kemahuan dirinya itu.
            “Apa yang telah ada, jangan pernah mengubahnya. Namun ubahlah, apa yang mungkin akan mendatangkan keburukan. Malam itu, jika aku seperti kau sekarang, aku akan ubahnya. Aku tidak mahu hidup aku itu akan terjadi kepadanya. Dia juga seperti kau. Dia mahukan sebuah kehidupan yang kau sendiri inginkan.” Along menoleh kepada anaknya yang sedang terlena. Dan wajah itu bersilih ganti dengan wajah anak kecil yang sedang berdebat dengannya. “Ubahlah semuanya. Jangan biarkan ia terus bernanah.” Budak yang sedang duduk di sisi pintu itu merenungnya. Daun pintu bilik terkuak. Langkah seorang wanita. Itu adalah ibunya. Dia melihat ibunya mengeluarkan kesemua pakaiannya di dalam almari. Budak yang sedang merenungnya ketika itu terpaksa berdiri apabila tangan ditarik. Along pantas berdiri. Dia ingin menarik budak itu namun tidak sempat. Dia terjatuh di tangga. Dan kepalanya terhantuk lantai. Berdarah memercik keluar. Along menarik nafas. Dia yang ingin menyelamatkan dirinya sendiri itu tetap juga tidak sempat. Dirinya tetap keluar dari rumah itu. Ayahnya yang sedang duduk membatu itu seperti tidak mengendahkan dirinya. Tubuhnya seperti diangkat jauh. Tubuhnya terasa ringan. Wajahnya ketika kecil dan wajah kecil anaknya itu bertingkah di seluruh hidupnya. Kehidupannya juga berubah-ubah difikirannya.

***********

            “Apa yang berlaku pada malam itu?”
            “Along berubah. Dia mula sedar dengan apa yang berlaku ke atas dirinya. Dia insaf. Dia tidak mahu anaknya kembali menjadi dirinya, setelah kakinya terpaksa dipotong.” Terkejut Mutia mendengar kata Zain. “Dia menjaga anaknya itu dengan kaki palsunya. Dia yang membesarkan anaknya itu. Dia sedar akan maksud di sebalik kejadian malam itu. Kita tidak harus berubah jika perubahan itu hanya akan mendatang kemudaratan. Berubahlah dari satu tempat ke tempat yang lain, asalkan hidup kita tak berubah.”
            “Dan, siapakah Along?” Zain hanya tersenyum. Itu adalah pertanyaan Mutia untuk kesekian kali.
            “Anak, jangan pernah berubah kepada sikap yang buruk tapi berubahlah menjadi baik kepada yang lebih baik.” Zain tersenyum kepadanya. Mutia membalas senyumannya.
            “Ayah…” Zain menoleh kepada suara seorang lelaki memanggilnya. Lelaki itu tersenyum kepada Mutia. “Dah tiba masanya untuk balik.” Zain mengangguk. Zain berdiri dan Mutia juga turut berdiri. Seorang budak perempuan kecil berlari dan memeluk kaki lelaki itu dan seorang wanita sedang mendukung budak kecil yang mungkin baharu berusia tujuh bulan.
            “Pakcik balik dulu. Terima kasih kerana temankan Pakcik berbual.” Zain tunduk dan mereka melangkah pergi. Mutia ditinggalkan sendirian dan memandang Zain. Dia melihat langkah Zain yang terinjut-injut. Mutia menggelengkan kepalanya seakan tidak percaya.
            “Cik, bagaimana?” Mutia terkejut apabila dia disapa dari belakang. “Dapat cerita?” Mutia tersenyum kecil. “Abang Zain memang suka bercerita mengenai kisahnya. Dia tidak malu untuk menceritakannya kepada sesiapa juga. Dia ingin semua orang tahu, kita tak perlu berubah jika perubahan itu ke arah keburukan.”
            “Ya. Saya mula mengerti dengan maksudnya.” Mutia tergelak kecil. “Hati saya benar. Saya telah mendapat keputusan. Jangan pernah berubah.” Mokhtar tersenyum kepada Mutia dan melangkah pergi. Mutia kembali melihat Zain. Kereta yang dipandu oleh anak Zain menyusur jalan di taman itu. Mutia jelas melihat wajah Zain. Zain telah menyedarkan dirinya walaupun hanya untuk seketika. “Benar katanya, kalau ada alat untuk mengubah waktu ketika ini bertukar kepada saat itu, sudah tentu, setiap kesalahan yang dilakukan hari ini akan berubah dan menjadi sempurna kerana kita mampu untuk mengubahnya di masa lalu. Namun, setiap perubahan itu tidak mungkin akan dapat memenuhi segala kehendak yang kita perlukan kerana setiap apa yang berlaku itu sepastinya ada rahmat-Nya, hanya kita harus bersabar menerima segala-galanya dengan redha.” Mutia menarik nafas dan berlalu dari taman itu dengan membawa sebuah harapan baharu.


diari sebuah bilik ROYAL RMARM,
PERWILA, Labuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan